MANUSIA makhluk paling istimewa berbanding
ciptaan Allah SWT yang lain. Keistimewaan dan kemuliaan itu jauh lebih
tinggi berbanding para malaikat yang diciptakan daripada nur dan Iblis
yang diciptakan daripada api walaupun masing-masing mempunyai tugas dan
matlamat tersendiri yang ditetapkan oleh Yang Maha Mencipta.
Begitu pula manusia lebih mulia daripada segala ciptaan
lain di muka bumi yang secara fizikalnya lebih gagah dan perkasa.
Perkara ini diperjelaskan dalam firman Nya pada Surah Al-Ahzab ayat 72
yang mengisahkan kesanggupan manusia untuk memikul amanah, setelah
ditolak oleh langit dan bumi serta gunung-ganang yang lebih menakjubkan
dan mengagumkan.
Malah dalam peristiwa bersejarah pemindahan
istana Ratu Balqis sebagaimana yang diperintahkan oleh Nabi Sulaiman AS,
manusia dengan nilai intelektual yang tinggi berjaya melakukannya dalam
sekelip mata berbanding jin Ifrit yang bersandarkan kekuatan fizikal
yang dimiliki. Sebagaimana firman Nya yang bermaksud;
“Nabi
Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya), Wahai
pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku
singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah
diri memeluk Islam? Berkatalah Ifrit dari golongan jin: Aku akan
membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu dan
sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah.
Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah:
Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!” (Surah
al-Naml:38-40)
Justeru dengan segala keistimewaan yang ada
manusia tidak sepatutnya menjatuhkan kedudukan yang begitu mulia dengan
bertindak melampau batas, nekad merubah ciptaan terbaik Allah SWT
semata-mata mengikut naluri songsang. Perbuatan golongan pengkid sebagai
contoh yang menggadai nyawa dan kehormatan diri semata-mata ingin
berperwatakan seperti lelaki dan mempunyai teman wanita adalah perbuatan
merubah ciptaan Tuhan yang menyebabkan dosa kaum Nabi Luth AS semakin
mendapat tempat di hati segelintir masyarakat Timur.
Begitu
pula golongan biseksual yang hanya berminat dengan pasangan sejenis juga
menyalahi fitrah semula jadi manusia yang dicipta berpasang-pasangan
dan berlainan jantina. Malah jika diteliti pada setiap daripada keunikan
ciptaan Tuhan terdapat tanda-tanda kebesaran yang seharusnya mendorong
manusia untuk hanya mengabdikan diri kepada Nya.
Terdapat pula
segelintir kalangan wanita yang dengan sengaja menjadi bahan
eksploitasi lalu sanggup memperagakan diri dengan pakaian menjolok mata,
menjadi penari tiang dengan pelbagai aksi mengghairahkan dan menjadi
pelacur murahan semata-mata inginkan habuan lumayan yang disediakan oleh
pihak tertentu. Semua ini boleh dijadikan indikator bebas untuk
menunjukkan nilai-nilai manusiawi mula luntur dan hilang ditelan arus
modenasasi zaman.
Dalam situasi yang lain manusia dilantik
pula sebagai khalifatulard yakni khalifah di muka bumi dengan segala
sesuatu dijadikan oleh Allah SWT tunduk untuk memberi kemudahan dan
kesenangan kepada manusia. Dengan erti kata lain manusia ialah ketua
kepada segala makhluk yang memainkan peranan signifikan dalam
melaksanakan tanggungjawab memakmurkan alam ini jauh daripada terlibat
melakukan kerosakan yang pelbagai sama ada di darat, di laut mahupun di
angkasa raya.
Manusia turut diberi keistimewaan oleh Allah SWT
untuk memberi nama kepada setiap sesuatu yang tidak di perkenan untuk
dilakukan oleh golongan malaikat mahupun iblis. Selain itu manusia
dibekalkan dengan akal fikiran yang sempurna sehingga berupaya untuk
berfikir dan menilai baik dan buruk sesuatu perkara dengan berteraskan
wahyu Ilahi. Namun akibat tidak mampu menggunakan akal dengan sebaiknya
manusia boleh sahaja terjerumus ke lembah kehinaan dengan menjadi
penghuni neraka dan menjadi lebih rendah berbanding binatang ternakan
sepertimana maksud firman Nya;
“Dan sesungguhnya Kami jadikan
untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati
(tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang
mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan
Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar
dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak,
bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”
(Surah al-‘Araaf:179)
Sedarlah betapa Islam mengangkat martabat
manusia termasuk kalangan wanita ke tahap yang tertinggi berbanding
makhluk ciptaan yang lain. Oleh itu usah dihinakan kedudukan manusia
sehingga jadi lebih rendah martabatnya daripada binatang yang tidak
punya akal tetapi masih kenal jantan dan betina.
Kebejatan
gejala sosial yang terus menerus menghantui masyarakat turut memburukkan
keadaan sedia ada. Bayi tidak berdosa dibunuh dan dibuang merata-rata.
Gejala moral seperti bersekedudukan tanpa ikatan pernikahan juga menjadi
perkara biasa dan tidak dianggap berdosa. Malah laporan akhbar yang
menyebutkan betapa kegiatan menggugurkan kandungan secara haram semakin
berleluasa turut menyumbang kepada dosa zina yang merosakkan generasi
keturunan manusia.
Sehubungan dengan itu setiap manusia yang
dikurniakan dengan pelbagai keistimewaan secara fitrah wajar kembali
memanfaatkannya untuk meningkatkan potensi diri dan ummah secara
kolektif. Di samping itu ia selayaknya digunakan untuk meningkatkan
nilai peradaban manusia melalui pelbagai lapangan kerjaya dan bidang
kehidupan yang meletakkan kedudukan manusia mulia pada tempatnya, seraya
dilimpahi dengan berbagai kurnia lain dan kenikmatan tidak berbelah
bahagi daripada Nya.
No comments:
Post a Comment